Khamis, 26 Julai 2012

RAHSIA BILIK GELAP DI ATAS LOTENG



Dalam usaha saya untuk mengalakkan orang Melayu supaya terlibat di dalam bidangusaha peternakan burung walit, gambar berikut merupakan salah satu daripada gambar-gambar yang saya tunjukkan kepada peserta.
Pemilik rumah ini bertekad untuk berbuat sesuatu di bahagian atas siling rumah ini, selepas menghadiri satu kursus peternakan burung walit di Pulau Pinang. Hanya beliau sahaja peserta tungal kursus berkenaan.


Beliau membuat pengubahsuaian ruang di atas loteng ini dengan kos sebanyak RM9,000.00 sahaja. Setelah siap di dapati suhu di dalam bilik ini sekitaran 30 selsius pada waktu siang.


Perhatikan kedudukan serombong dan lubang masuk walit. Kedudukan ini disifatkan sebagai "walit masuk bangunan tidak mengikut pusingan jam".


Sedikit-sebanyak cerita beliau, memulakan pengubahsuaian pada tahun 2006 dan mula membuat panggilan pada tahun yang sama iaitu pada bulan Ogos. Walit mula memasuki bilik ini selepas 2 minggu membuat pemanggilan. Pada tahun yang sama pada bulan November sudah terdapat 3 biji sarang.


Beliau mula mengutip dan menjual sarang pada tahun 2007. Jualan pertama melibatkan 3 biji sarang sahaja dengan harga RM24.00. Pada bulan Mie tahun yang sama beliau membuat kutipan kedua dan menjualnya dengan harga RM100.00. Berikutnya beliau membuat kutipan sarang sebanyak 6 kali dalam setahun, yang melibatkan bulan April, Mei, Julai, Ogos, Oktober dan November.


Purata pendapatan beliau pada tahun 2010, dan dengan kadar harga di masa berkenaan, ialah sebanyak RM500.00 sebulan. Ini sudah merupakan satu pendapatan tambahan yang baik bagi keluarga ini. Jangkaan beliau bilik gelap ini  mampu memberikan hasil sebanyak 2 Kg pada setiap kali pungutan dibuat.


Kerja-kerja pembersihan dan nyah serangga dibuat sekali dalam tempoh 2 bulan.


Berikut adalah rajah bilik gelap ini serta ukuranya.
Dari sudut teorinya agak mustahil bilik serendah ini sesuai untuk burung walit, terutamanya bagi anak-anak walit yang hendak memulakan penerbangan. Daripada pengalaman rumah pengusaha ini, nampaknya itu tiada masalah dan rumah ini terus didiami walit dan bersarang.


Seterusnya saya paparkan beberapa gambar di dalam bilik berkenaan untuk kefaham kita semua.

Berikut pula beberapa gambar di bahagian lantai dan dalam rumah pengusaha. Perhatikan bilik gelap ini berlantaikan tikar getah bagi menghalang habuk serta kotoran walit tiris ke dalam rumah kediaman pengusaha. Perhatikan juga botol air, sebagai usaha beliau untuk meningkatkan kelembapan di dalam bilik berkenaan.


Berikut pula bahagian luran bilik ini, bermula dengan pintu masuk ke bilik dan gambar ruang tamu di mana di atasnya ialah bilik gelap yang digambarkan sebelum ini.

Sehingga kini saya dimaklumkan tiada sebarang masalah dengan kesihatan ahli keluarga pengusaha. Bagi walit pun nampaknya tiada masalah dengan kegiatan atau aktiviti keluarga di dalam rumah ini.


Aplikasi terbaharu konsep ini adalah lebih kemas dan mantap. Lihat gambar berikut, juga bilik gelap di atas loteng. Juga penting bagi anda perhatikan, apakah mustahil bagi pinjaman perumahan rumah ini dijelaskan oleh walit??
Renung-renungkan lah..
Sekian untuk kali ini. Saya berharap anda telah belajar sesuatu darpada penulisan kali ini.

Dr Azizol Mohd Sharun/PERUNDING INDUSTRI WALIT/PENCERAMAH & PENASIHAT AWTC

Tiada ulasan:

Catat Komen